Dewan Rakyat 10.07.2007 pg 157
Puan Teresa Kok Suh Sim [Seputeh]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Seramai 3000 penduduk di Bukit Koman di kawasan Raub di negeri Pahang berasa sangat risau terhadap perlombongan dan proses pemisahan emas di jalankan oleh Raub Australian Gold Mining Sdn. Bhd yang menggunakan cyanide.
Tapak perlombongan tersebut adalah lebih kurang 300 meter dari kawasan kediaman mereka di Bukit Koman. Cyanide merupakan sejenis bahan kimia yang berbahaya kepada kesihatan manusia dan ia akan mengakibatkan keguguran bayi dalam kandungan. Orang yang didedahkan kepada bahan kimia ini akan menghadapi penyakit sakit kepala, nausea, kesusahan untuk bernafas, kekeliruan, seizures, koma dan penyakit jantung.
Beberapa kajian terhadap cyanide membuktikan bahawa penggunaan cyanide secara meluas telah menjejaskan kesihatan ramai orang di Kanada, Romania, Guyana, Kyrgyzstan dan Papua New Guinea.
Sehubungan dengan itu, kerajaan negeri Pahang telah mengumumkan cadangan projek Empangan Klau yang bernilai RM3 bilion di bawah projek pemindahan air di antara negeri Pahang dan Selangor.
Ramai penduduk di kawasan Raub dan juga Pertubuhan Alam Sekitar berasa bimbang bahawa cyanide yang digunakan oleh syarikat perlombongan tersebut akan meresap ke dalam aliran air di bawah tanah dan menjejaskan kebersihan dan ketulenan bekalan air di empangan tersebut.
Saya difahamkan bahawa penduduk di Bukit Koman telah berjumpa dengan Ahli Parlimen Raub dan ADUN berkenaan dengan kebimbangan mereka terhadap penggunaan cyanide oleh Raub Australian Gold Mining Sdn. Bhd, apakah masalah dan kebimbangan penduduk ini telah disampaikan kepada pihak Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.
Persoalan saya adalah, apakah syarikat Raub Australian Gold Mining Sdn. Bhd telah mendapat kebenaran daripada Jabatan Alam Sekitar untuk menggunakan cyanide dalam aktiviti perlombongan dan proses pemisahan emasnya, memandangkan kawasan Raub mempunyai 80,000 orang penduduk. Juga aktiviti penggunaan cyanide dalam pemisahan emas ini akan menjejaskan nyawa dan kesihatan beribu-ribu orang di Raub dan berkemungkinan akan mencemarkan aliran air bawah tanah yang mengalir ke Empangan Klau. Apakah langkah yang diambil oleh Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Kesihatan untuk mempertahankan nyawa dan
kesihatan berjuta-juta penduduk di Pahang dan Selangor yang menggunakan air tersebut.
Sekian, terima kasih.
Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Lim Si Cheng]: Yang Berhormat Timbalan Menteri,sila.
Setiausaha Parlimen Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar [Dato’ Sazmi bin Miah]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Sianida dengan izin, cyanide terdapat dua bentuk iaitu secara semula jadi dalam tumbuhan seperti apricot, kacang, rebung-rebung buluh, keladi dan zaitun. Juga di dalam binatang atau dihasilkan sendiri oleh manusia. Dalam bentuk semula jadi bahan sianida menjadi mekanisme pelindung diri.
Dunia menghasilkan 1.0 juta tan metrik hidrogen sianida setahun, 87% daripada jumlah ini digunakan di dalam industri pembuatan perekat, industri elektronik, pharmaceutical, kosmetik, kaca, cat dan sebagainya.
Manakala 13% lagi digunakan dalam industri perlombongan emas dan perak.
Penggunaan sianida dalam perlombongan emas bukanlah perkara yang baru dan telah digunakan semenjak 1988 di New Zealand dan Afrika. Di negara kita bahan sianida telah digunakan dalam perlombongan emas di Bau, Sarawak pada akhir tahun 1980-an dan di Raub dalam tahun 1906.
Operasi perlombongan emas menggunakan larutan sodium cyanide dengan izin dalam julat 100-500 bahagian sejuta atau 100 miligram hingga 500 miligram seliter.
Cyanide dikenali sebagai bahan toksik dan perlu dikendalikan dengan baik mengikut kaedah selamat yang digunakan di seluruh dunia.
Tuan Yang di-Pertua, berhubung dengan masalah dan kebimbangan penduduk, perkara ini telah pun disampaikan kepada pihak Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar. Sebanyak tujuh sesi dialog dan taklimat telah dijalankan oleh pihak perlombongan dengan penduduk, wakil Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK), ahli Jawatankuasa Tindakan Daerah, Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri. Pihak Jabatan Mineral dan Geosains negeri Pahang juga telah memberikan penjelasan mengenai perkara ini kepada beberapa badan tertentu. Pada keseluruhannya mereka yang terlibat menerima baik penjelasan yang diberikan dan lebih jelas dengan kedudukan sebenarnya.
Tuan Yang di-Pertua, berhubung dengan soalan kelulusan kepada Raub Australian Gold Mining Sdn Bhd (RAGM), pelombong telah menyediakan laporan kajian EIA pada bulan Ogos tahun 1996 dan telah diluluskan dalam tahun 1997 oleh Jabatan Alam Sekitar di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Selain daripada itu, pihak pelombong juga telah menjalankan satu kajian kebolehlaksanaan atau feasibility report dengan izin, dan mendapat kelulusan untuk beroperasi daripada Jabatan Mineral dan Geosains berdasarkan Akta Pembangunan Mineral 1994 pada 21 Ogos tahun 2006.
RAGM menggunakan teknologi CIL – Carbon in Leach dengan izin, yang menggunakan diluted sodium cyanide dengan izin, 350 miligram satu par yang biasa digunakan di seluruh dunia dan loji ini akan dibina oleh sebuah syarikat daripada Afrika Selatan yang mempunyai pengalaman dan bertaraf antarabangsa.
Penggunaan sianida di RAGM adalah secara litar tertutup dan diguna semula. Lebihan sianida yang disalir dari loji ke kawasan hampas, akan mengandungi 80 bahagian sejuta atau 80 miligram untuk satu liter sianida. Kandungan sianida dalam hampas lombong ini akan makin berkurangan apabila terdedah kepada cahaya matahari.
Kawasan hampas yang digunakan adalah di bawah paras bumi dan tiada air limpahan akan keluar kerana air ini akan digunakan semula. Setakat ini, loji memproses emas masih dalam pembinaan dan sodium cyanide masih belum digunakan lagi.
Pelombong juga bertanggungjawab untuk memastikan pengendalian bahan sianida ini mengikut piawaian antarabangsa iaitu:
i. mempunyai rekod bentuk loji yang baik;
ii. melaksanakan amalan operasi yang baik;
iii. menggunakan peralatan perlindungan pekerja dan peralatan kecemasan; dan
iv. mempunyai dan mengamalkan prosedur dan latihan kecemasan yang baik mempunyai tapak kerja yang selamat dan bersih
v. menjalankan pemantauan yang berterusan.
Jabatan Mineral dan Geosains sentiasa memantau aktiviti penggunaan sianida untuk memastikan ianya mematuhi syarat-syarat yang telah dikenakan.
Tuan Yang di-Pertua, mengenai kebimbangan sianida akan mencemar aliran air di bawah tanah ianya telah diambil kira semasa cadangan operasi melombong dikemukakan.
Kawasan hampas yang digunakan adalah kawasan lama yang mempunyai lapisan selut dan kemungkinan bagi resapan berlaku adalah terlalu kecil. Kajian yang dibuat di Amerika, Afrika Selatan dan juga Kanada menunjukkan resapan sianida ke dalam air bawah tanah, tiada menjejaskan kualiti air bawah tanah kerana bahan sianida akan musnah apabila berinteraksi dengan tanah.
Resapan ini tidak mungkin juga memasuki sistem air bawah tanah dan terus ke empangan Kelau kerana empangan Kelau terletak lebih kurang 50 kilometer ke selatan tapak lombong, tambahan pula empangan tersebut berada di lembangan sungai yang berbeza dengan kawasan lombong di Bukit Koman. Terima kasih.
0 comments:
Post a Comment