Ucapan Tangguhan Berkaitan dengan Bukit Koman

DR.19.6.2007 pg 87
■16.39
Tuan Chow Kon Yeow [Tanjong]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana memberi kesempatan kepada saya untuk turut mengambil bahagian dalam membahas rang undangundang ini untuk meminda Akta Kualiti Alam sekeliling 1974.

Tuan Yang di-Pertua, soal alam sekitar menjadi kian penting dalam pembangunan negara dan ia juga menimbulkan satu masalah yang besar jika tidak dipastikan kita semua dapat hidup dalam alam sekitar yang sihat dan ia akan membawa kos yang begitu banyak kepada pembangunan negara dan juga masyarakat dan manusia.
■1640
Kerajaan boleh mendekati soal alam sekitar ini dengan pelbagai pendekatan, mengadakan akta-akta, ada penguatkuasaan akta, seterusnya pendakwaan dan mungkin jatuh hukuman dan penalti kepada pihak-pihak yang didapati bersalah melanggar undang-undang
ataupun peraturan alam sekitar di negara ini. Dan melalui pindaan pada kali ini Tuan Yang di-Pertua, iaitu pindaan kepada subseksyen 34B (4) untuk memperuntukkan hukuman penjara yang mandatori dan juga subseksyen 43(1) untuk memasukkan Ketua Pegawai Eksekutif sebagai seorang yang bertanggungjawab bagi kesalahan yang dilakukan oleh pertubuhan, perbadanan.

Ini saya nampak mendekati masalah alam sekitar ini dengan pendekatan penalti iaitu kementerian ingin melalui pindaan ini dengan dapat kuasanya dan juga memberitahu badan kehakiman bahawa kita perlu menjatuhkan hukuman penjara kepada pesalah-pesalah sebab selama ini kementerian mendapati bahawa badan kehakiman enggan menjatuhkan hukuman penjara kepada pesalah-pesalah di mahkamah dan pada lazimnya cuma denda dikenakan kepada pesalah-pesalah selama ini walaupun adanya peruntukkan penjara dan denda di dalam fasa yang sedia ada.

Dan melalui pindaan ini, saya rasa kementerian mengharapkan badan kehakiman juga dapat memainkan peranan dengan menjatuhkan hukuman penjara secara mandatori untuk membayangkan keseriusan kita kepada masalah yang ditimbulkan terhadap alam sekitar kita dan juga melalui hukuman penjara secara mandatori ini diharapkan akan menjadi satu deterrent yang sangat berkesan kepada pihak-pihak yang tidak mematuhi undang-undang dan juga tidak menghiraukan kesan-kesan buruk kepada alam sekitar dan juga manusia.

Kementerian ini mengambil pendekatan ini kerana kebelakangan lima tahun ini terdapat 97 kes didakwa di mahkamah dan didapati bersalah tetapi tidak satu kes pun hukuman penjara dijatuhkan oleh mahkamah. Mereka cuma diberi hukuman denda sahaja dan nampaknya ini tidak berkesan langsung untuk menghindarkan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab untuk mengambil risiko ataupun mengambil jalan yang lebih pintas, yang lebih murah untuk membuang sisa-sisa toksik di tempat-tempat yang tersembunyi untuk menjimatkan kos kepada perniagaan mereka tetapi perbuatan ini menimbulkan pelbagai masalah.

Saya rasa pindaan ini masih tidak cukup untuk kita mengatasi masalah pembuangan sisa-sisa toksik berjadual ini. Walaupun perkara ini sudah dibangkitkan oleh kementerian, oleh Yang Berhormat Menteri sendiri, oleh Yang Berhormat Timbalan Menteri, tetapi ia mengambil masa yang begitu panjang untuk sampai ke peringkat Dewan Rakyat ini untuk dibahaskan dan
diluluskan. Saya rasa melebihi satu tahun perkara ini dibangkitkan di dalam media oleh Menteri dan kementerian tetapi akhirnya selepas satu tahun barulah dibawa ke Dewan Rakyat ini. Tadi Yang Berhormat Mambong juga kata peraturan-peraturan sisa-sisa toksik berjadual itu diluluskan tetapi tunggu sampai tiga tahun barulah dilaksanakan. Ini membayangkan satu sikap yang tidak terdesak untuk kita sama-sama mendekati dan mengatasi masalah yang berhubung dengan pencemaran alam sekitar kita.

Tuan Yang di-Pertua, walaupun adanya hukuman penjara mandatori, apakah ini akan memberi kesan yang kuat kepada syarikat-syarikat untuk menghindarkan mereka untuk terus membuat ataupun membuang sisa-sisa toksik mereka dengan sembarangan sebab mereka mungkin akan menjadikan CEO ataupun pegawai-pegawai tertentu, kadangkala mungkin pemandu lori yang mengangkut sisa-sisa itu akan menjadi mangsa ataupun dihantar ke penjara tetapi tauke-tauke yang memiliki syarikat ini tidak akan menerima apa-apa kesan yang negatif.

Saya rasa kita perlulah mendekati isu ini dengan satu perkara yang lebih berkesan sebab walaupun ada penjara secara mandatori, ia tidak dapat mengatasi soal kos kepada alam sekitar dan manusia akibat pembuangan sisa-sisa yang toksik itu. Negara kita kena pikul kos untuk membersihkan alam sekitar yang tercemar. Manusia yang tinggal di sekitar buangan sisa-sisa
toksik itu menderita dan tidak terima pampasan pun.

Jadi saya rasa kerajaan perlulah mengadakan pindaan lagi untuk memastikan orangorang atau syarikat-syarikat yang bertanggungjawab ataupun yang selepas dijatuhkan hukuman bersalah oleh mahkamah juga perlu bertanggungjawab untuk membiayai kos bagi membersihkan tapak-tapak di mana sisa-sisa toksik itu dibuangkan. Itu mungkin melibatkan kos berjuta-juta
ringgit. Kalau sebuah syarikat perlu diarahkan ataupun dijatuhkan hukuman atau diarahkan oleh mahkamah untuk membersihkan tapak-tapak itu yang menelan belanja berjuta-juta ringgit, saya rasa syarikat-syarikat ini akan lebih berhati-hati dan tidak akan berani untuk mengambil tindakan membuang sisa-sisa toksik ini di merata tempat. Walau bagaimanapun nampaknya pindaan
pada kali ini tidak mengambil kira perkara ini.

Tuan Yang di-Pertua, saya juga berharap kementerian boleh memberi penjelasan berhubung dengan hukuman kepada orang-orang yang terlibat dalam pembuangan sisa-sisa toksik ini yang mencemarkan sumber-sumber air kita. Nampaknya pada tahun lepas, Dewan ini
sudah meluluskan Water Services Industry Bill di mana mengandungi satu fasa yang menyatakan pihak yang bertanggungjawab untuk mencemarkan sumber-sumber air kita melalui pembuangan sisa-sisa toksik ini akan menghadapi hukuman mati ataupun hukuman penjara 20 tahun ini.

Ini saya rasa sudah menjawab Yang Berhormat-Yang Berhormat tertentu yang menganggap bahawa walaupun ada penjara secara mandatori dan denda masih tidak mencukupi. Jadi saya ingin tahu dari kementerian ini, apabila berlaku kes seperti ini sama ada mereka akan mendakwa pihak yang bersalah ini mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling ataupun merujuk kepada pihak yang lain di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air yang memperlihatkan satu hukuman yang lebih berat kepada kesalahan mencemarkan sumber air kita.

Tuan Yang di-Pertua, ramai Ahli Yang Berhormat sudah menyentuh tentang soal penguatkuasaan. Apakah kementerian ini cekap dalam memantau dan menguatkuasakan undang-undang yang sudah diluluskan walaupun dengan hukuman yang lebih berat, apakah kementerian dan jabatan ini berupaya untuk memastikan mereka dapat bekerja dengan lebih baik, membawa pesalah-pesalah dan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menghadap ke mahkamah.
■ 1650
Ini satu cabaran yang besar kepada kementerian ini dan saya rasa Tuan Yang di-Pertua, kementerian ini dan menteri juga pernah mengakui bahawa memang ada kelemahan dalam Jabatan Alam Sekitar untuk mencegah pembuangan sisa-sisa toksik secara haram. Jadi, saya ingin tahu dari kementerian ini, apakah tindakan akan diambil untuk menaikkan kecekapan penguatkuasaan kementerian ini dari segi kuantiti ataupun bilangan pegawai-pegawai penguatkuasaan, dan di samping itu juga kualiti penguatkuasaan, sebab tadi Yang Berhormat Kuala Terengganu juga ada menimbulkan satu perkara yang penting di mana dikatakan dengan lebih berat hukuman ini, pihak-pihak yang disabitkan akan cuba mencari pelbagai alasan untuk mempertahankan kes mereka. Ini memaksa Jabatan Alam Sekitar untuk mempunyai bukti-bukti yang kukuh supaya mereka dapat berjaya apabila kes ini dibawa ke mahkamah. Jadi kualiti penguatkuasaan dan pemantauan kutipan bukti-bukti menjadi satu perkara yang amat penting untuk memastikan kita dapat mencegah masalah ini dari berlarutan.

Selain daripada penguatkuasaan Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menyentuh tentang soal pencegahan, sebab kita tahu bahawa pencegahan adalah lebih baik daripada perubatan.

Apakah peranan Jabatan Alam Sekitar dan kementerian untuk memastikan industri-industri kita lebih peka terhadap tanggungjawab sosial mereka kepada alam sekitar, dan bagaimana kementerian dan jabatan ini dapat memastikan kilang-kilang sama ada SMI ataupun kilang-kilang yang besar itu dapat comply ataupun mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh kementerian? Ini menjadi satu langkah yang patut dilaksanakan oleh kementerian sebagai langkah pencegahan dari berlakunya lebih banyak kes pembuangan sisa-sisa toksik secara haram. Jabatan Alam Sekitar perlulah mengadakan pegawai penguatkuasaan yang mencukupi,
dan pada tahun lepas kementerian juga mengakui bahawa kementerian dan jabatan menghadapi kekurangan kakitangan dan pernah mencadangkan bahawa ahli-ahli dari ikatan relawan atau Rela juga membantu dalam memantau aktiviti-aktiviti pembuangan sisa-sisa toksik di sekitar mereka.

Jadi, sama ada perkara ini dapat keputusan di mana ahli-ahli Rela dipertanggungjawabkan untuk membantu Jabatan Alam Sekitar menjalankan tugas untuk memantau pembuangan sisa-sisa toksik ini. Tuan Yang di-Pertua, Jabatan Alam Sekitar bertanggungjawab untuk mengeluarkan lesen kepada syarikat-syarikat untuk menguruskan sisasisa toksik.

Melalui laporan yang dikemukakan oleh jabatan ini, mereka kata mereka terima pemberitahu bahawa sebanyak 469,000 tan sisa-sisa toksik berjadual dikeluarkan pada tahun 2004 di mana daripada jumlah ini, 18.8 peratus diuruskan oleh Kualiti Alam dan 2.7 peratus merupakan clinical waste yang dilupuskan oleh incinerator di kemudahan offside, manakala 0.7 peratus dieksportkan untuk tujuan recovery dan 5.8 peratus sisa-sisa toksik ini didapati dalam kemudahan offside. Bakinya 19 peratus dirawat dan disimpan onside di premis waste generator.

Statistik ini menimbulkan masalah iaitu saya ingin tahu di manakah sisa-sisa toksik ini yang sudah dirawat, disimpan? Apakah ia disimpan di offside facility yang merupakan kebanyakannya dari jumlah yang dikeluarkan oleh jabatan ini? Didapati kemudahan offside masih simpan begitu banyak sisa-sisa ini selepas dirawat. Apakah destinasi yang terakhir bagi sisa-sisa toksik ini walaupun dirawat? Apakah ia selamat untuk dilepaskan kepada alam sekitar ataupun bagaimana ia diuruskan supaya tidak menimbulkan masalah yang lain?

Mengikut statistik yang dikeluarkan juga, didapati cuma 35 onsite waste incinerator dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar dan mereka menguruskan cuma 11.3 peratus dari jumlah sisa-sisa toksik yang dibuang di negara ini. Saya ingin tahu macam mana lain-lain sisa-sisa toksik ini diuruskan memandangkan cuma ada 35 onsite incinerator yang dilesenkan oleh Jabatan Alam Sekitar? Apakah langkah-langkah yang sudah diadakan oleh kementerian dan jabatan ini untuk memastikan SMI ataupun MMC ini mematuhi segala perintah ataupun akta-akta ini? Sebab memandangkan kos untuk menghantar toksik waste ini kepada waste incinerator yang berlesen ini adalah tinggi. Jadi tadi Ahli Yang Berhormat Ayer Hitam juga merasa kalau kos terlalu tinggi, pengusaha-pengusaha SMI akan memilih jalan yang lebih pantas, membayar sedikit wang kepada kontraktor ataupun pemandu lori untuk membuang toksik waste ini begitu sahaja dan tidak akan menghantar kepada Alam Waste Incinerator yang berlesen oleh Jabatan Alam Sekitar.

Satu perkara yang perlu kita beri perhatian, saya rasa kementerian pun sudah mula memberi perhatian adalah menangani masalah yang ditimbulkan oleh e-Waste, Electronic Waste di mana pada zaman ICT ini, pelbagai sisa-sisa dikeluarkan oleh komputer-komputer dan lain-lain peralatan elektronik. Jadi, saya berharaplah kementerian ini ataupun Jabatan Alam Sekitar lebih
proaktif dalam perkara ini dan menangani masalah yang ditimbulkan oleh buangan alat-alat ICT ini. Satu masalah yang timbul Tuan Yang di-Pertua, di negara ini lebih pengusaha-pengusaha terlibat dalam industri kitar semula, tetapi industri kitar semula akibatnya dia juga mewujudkan sisa-sisa yang tidak berguna kepada mereka. Ada banyak syarikat kitar semula beroperasi tanpa berlesen. Kalau mereka sebagai operator kitar semula, tidak semestinya mereka peka kepada alam sekitar. Kadang kala mereka juga menimbulkan masalah kepada alam sekitar, walaupun mereka syarikat kitar semula. Saya ingin tahu apakah pemantauan yang dilakukan oleh kementerian dan jabatan ini untuk memastikan syarikat-syarikat kitar semula ini dapat menguruskan sisa-sisa mereka dengan berkesannya dan tidak menimbulkan masalah kepada alam sekitar?
■1700
Baru-baru ini kementerian dan menteri ada menyatakan dalam surat khabar beliau telah menegur dua buah syarikat MNC Internet dan syarikat yang memasang dan mengeluarkan mobile phone sebab syarikat-syarikat di Malaysia mereka merupakan pelabur asing. Walau pun di negara asing mereka mengamalkan polisi kitar semula yang baik tetapi menteri berkata bahawa mereka tidak mempraktikkan polisi kitar semula mereka di negara ini. Mereka mengamalkan double standard.

Saya ingin tahu dari menteri, apakah nama syarikat ini? Apakah dasar-dasar kitar semula mereka yang tidak dipakai di negara ini? Saya rasa Tuan Yang di-Pertua, perkara yang kita perlu terus memberi perhatian adalah memastikan dalam penguatkuasaan, kita tidak timbul masalah berhubung dengan korupsi di Jabatan Alam Sekitar.

Kebelakangan ini, dua tiga tahun ini Jabatan Alam Sekitar menghadapi tuduhan-tuduhan dan allegation bahawa pegawai penguatkuasaan terlibat dalam gejala yang tidak sihat, bersekongkol dengan pemilik-pemilik syarikat, menerima sedikit duit suapan untuk tutup mata terhadap kegiatan terhadap... sebelah sahaja cukup ya? Tidak perlu tutup dua belah mata ya?

Untuk tutup mata terhadap apa yang dibuangkan oleh syarikat-syarikat tertentu. Saya rasa pegawai-pegawai dari Jabatan Alam Sekitar ini pun pernah disiasat oleh ACA dan pihak polis sehingga ada kes pembunuhan yang melibatkan pegawai penguasaan Jabatan Alam Sekitar. Saya ingin tahu dari kementerian setakat ini, berapa bilangannya pegawai penguatkuasaan ataupun kakitangan Jabatan Alam Sekitar yang masih disiasat oleh polis ataupun ACA? Berapakah yang telah dikenakan tindakan disiplin dalaman walau pun mereka tidak dihadapkan ke mahkamah?

Kita perlu dengan lulusnya pindaan ini ingin lihat transparency dan accountability dalam Jabatan Alam Sekitar dan kita tidak dapat bertoleransi apabila mereka yang diberi tugas untuk menjaga alam sekitar memilih untuk memihak kepada pesalah-pesalah yang menjahanamkan alam sekitar kita.

Akhirnya Tuan Yang di-Pertua, saya ingin menimbulkan satu kes yang berlaku di Raub, Pahang yang membabitkan Australia Gold Mining Sendirian Berhad. Baru-baru ini penduduk-penduduk di sekitar Bukit Koman di daerah Raub telah mengadu bahawa aktiviti gold mining yang dilakukan oleh syarikat ini menggunakan satu substance kimia yang amat bahaya iaitu cyanide dalam proses mencari emas di kawasan ini.

Mereka khuatir bahawa cyanide yang digunakan ini telah mencemar under ground water source yang ada di sekitar kawasan tersebut dan baru-baru ini kerajaan juga mengumumkan bahawa Pahang - Selangor Inter State Raw Water Transfer Project di sekitar kawasan itu. Jadi dengan aktiviti gold mining yang menggunakan substance kimia cyanide ini, adakah ia akan
membawa padah kepada sumber air yang didapati di bawah tanah? Apakah EIA ada dilakukan dalam projek ini untuk menentukan viability projek ini dan sama ada penggunaan cyanide ini akan mencemarkan sumber air di sekitar itu yang bukan mengakibatkan penduduk-penduduk kampung menerima padah.

Tetapi mungkin akan menjejaskan projek Pahang - Selangor Inter State Raw Water Transfer ini yang akan membawa kesan dan impak yang amat besar kepada penduduk di negeri Selangor dan Lembah Klang ini, jadi saya berharap kementerian akan dapat memberi penjelasan kepada perkara-perkara yang saya bangkitkan tadi. Sekian, terima kasih.


0 comments:

Post a Comment